SELAMAT DATANG KE LAMAN BLOG KAMI PERKAHWINAN 1 MALAYSIA PERAYAAN TAHUN BARU CINA PAKAIAN TRADISIONAL PELBAGAI KAUM VARIASI MAKANAN MASYARAKAT MALAYSIA

ADAT ISTIADAT

Adat secara umumnya didefinisikan sebagai suatu aturan dan cara hidup. Ianya mencerminkan segala perbuatan yang adakalanya dilakukan setiap hari ataupun musim sama ada berpandukan bulan atau tahun. Itu ialah perkara yang selalu difahami khalayak berkenaan dengan adat. Suatu perkataan yang sinonim dengan adat ialah budaya. Walaupun dari aspek bunyinya ia berbeza, tetapi dari segi pengertiannya, ia adalah konsep yang saling bergantung dan sama.

Adat seperti yang didefinisikan tadi ialah cara hidup iaitu tingkah laku, kepercayaan dan sebagainya. Adat bersifat maya iaitu tidak dapat dilihat. Ia timbul daripada suatu pemikiran berkenaan cara hidup dan tidak dizahirkan. Apabila ianya dizahirkan dan dapat dilihat perlaksanaanya, misalnya kita melihat adat bercukur, adat bersanding dan sebagainya, itu sudah menjadi suatu budaya. Maknanya, budaya ialah suatu bentuk perlakuan yang mencerminkan adat sesuatu masyarakat itu.

MASYARAKAT MELAYU

1. Kelahiran
  •  Melenggang Perut (Sewaktu Mengandung)
Adat ini juga dipanggil Kirim Perut oleh masyarakat Melayu di bahagian utara Semenanjung Malaysia dan di sesetengah tempat dikenali sebagai Mandi Tian. Upacara ini dilakukan kepada wanita yang mengandung anak sulung ketika kandungan berusia dalam lingkungan tujuh atau lapan bulan. Ia dijalankan oleh seorang bidan untuk membuang geruh atau kecelakaan yang mungkin menimpa wanita hamil yang bakal bersalin dan bagi membetulkan kedudukan bayi di dalam perut.Lazimnya pada hari tersebut, kenduri doa selamat akan diadakan dan ibu yang menjalani upacara ini dipakaikan dengan pakaian baru. Adalah dipercayai adat ini mengandungi unsur-unsur budaya Hindu.
  • Sewaktu Bersalin
Apabila hampir tiba waktu bersalin, persediaan akan diuruskan oleh keluarga berkenaan. Mengikut kebiasaannya kandungan ketika itu sudah cukup sembilan bulan sepuluh hari. Tetapi adakalanya tempoh kehamilan boleh mencapai sehingga sepuluh hingga dua belas bulan yang dipanggil bunting kerbau. Mengikut kepercayaannya juga daun mengkuang berduri akan digantung di bawah rumah dan kapur akan dipangkah pada tempat-tempat tertentu di dalam rumah wanita yang hendak bersalin tadi bagi mengelakkan gangguan makhluk halus. Di samping itu juga, terdapat beberapa adat yang perlu dijalankan semasa menyambut kelahiran ini.
  • Potong Tali Pusat
Sejurus selepas bayi lahir, bidan akan menyambutnya dengan jampi dan serapah lalu disemburkan dengan daun sirih. Selepas bayi dibersihkan, tali pusatnya akan dipotong dengan menggunakan sembilu buluh dan dialas di atas sekeping wang perak satu ringgit. Di sesetengah tempat tali pusat dipotong menggunakan cincin emas. Baki tali pusat di perut bayi akan dibubuh kunyit dan kapur lalu dibungkus dengan daun sirih yang telah dilayukan di atas bara api sehinggalah tali pusat itu tanggal sendiri. 
  •  Azan/Qamat

Kelazimannya bayi lelaki akan diazankan di kedua-dua belah telinganya manakala bayi perempuan akan diqamatkan. Biasanya, bapa atau datuk bayi tersebut akan melakukan upacara ini. Ia bukanlah satu adat, sebaliknya lebih merupakan amalan berunsur keagamaan.
  • Membelah/Mulut
Adat ini mempunyai pengaruh budaya Hindu, namun demikian ia juga terdapat dalam agama Islam yang menghukumkan sunat untuk berbuat demikian. Upacara bermula dengan membacakan surah Al-Fatihah dan surah Al-Ikhlas. Ia diikuti dengan langkah mencecap atau merasakan sedikit air madu atau kurma dan ada juga yang menggunakan emas yang dicelupkan ke dalam air pinang pada mulut bayi yang baru lahir tersebut. Sewaktu menjalankan upacara ini, jampi mentera dibacakan. Namun demikian, adat ini sudah tidak diamalkan lagi oleh masyarakat Melayu hari ini.
  • Berpantang
Dalam masyarakat Melayu, wanita yang telah bersalin mesti menjalani masa berpantang yang bermaksud larangan. Sekiranya wanita tersebut melanggar pantang, mereka akan mengalami bentan atau sakit sampingan. Tempoh berpantang lazimnya berlangsung selama empat puluh empat hari dikira dari hari mula bersalin dan ada juga yang berpantang selama seratus hari.
  • Bertungku
Selama berpantang mereka diberi makan ubat-ubat tradisi dan bertungku. Bertungku dipercayai dapat membantu perut wanita bersalin kembali normal.   Biasanya tungku diperbuat dari batu yang dipanaskan di atas bara. Kemudian tungku itu dibalut dengan kain yang di lapik dengan beberapa helai daun yang tebal seperti daun lengkuas yang dipercayai dapat mengimbangi kepanasan tungku di samping berfungsi sebagai ubat.
  • Tanggal Pusat/Cuci Lantai
Lazimnya bayi yang baru lahir akan tanggal pusatnya dalam tempoh seminggu. Pada ketika itu, adat cuci lantai akan diadakan. Di sesetengah tempat, ia juga dipanggil adat naik buai kerana selagi bayi itu belum tanggal pusatnya, dia tidak boleh dibuaikan dan akan tidur di samping ibunya. Adat ini seelok-eloknya dilakukan pada hari Isnin atau Khamis.Kenduri doa selamat akan diadakan pada permulaan adat ini. Selepas itu bidan akan memulakan jampi serapahnya sambil memegang ayam dengan cara mengais-ngaiskan kaki ayam ke atas lantai tempat wanita itu bersalin. Seterusnya lantai itu akan dibersihkan. Mak bidan akan menjalankan keseluruhan upacara ini. Sebelum itu, si ibu dan si bayi akan dimandikan, diurut dan dibedak. Selesai upacara tersebut, bahan yang digunakan tadi beserta sedikit wang akan dihadiahkan kepada bidan tersebut.  
  • Memberi Nama
Mengikut ajaran Islam, adalah sunat memberi nama yang mempunyai maksud yang baik kepada bayi. Kebiasaannya jika bayi itu lelaki, nama akan diberi mengikut nama para nabi manakala untuk bayi perempuan, nama isteri-isteri atau anak-anak nabi akan dipilih.
  • Cukur Rambut/ Potong Jambul
Adat ini dilakukan pada hari ketujuh selepas dilahirkan. Ia turut dipanggil adat potong jambul. Kenduri nasi kunyit dan doa selamat diadakan pada hari tersebut. Lazimnya, semasa adat ini dijalankan akikah turut diadakan. Dari segi syarak, akikah membawa pengertian menyembelih ternakan pada hari ke tujuh selepas anak dilahirkan. Orang Islam yang berkemampuan disunatkan menyembelih ternakan seperti kambing, lembu atau kerbau sebagai akikah anak yang baru lahir. Seorang anak disunatkan berakikah sekali sahaja seumur hidup.
  • Naik Buai 
Adat ini merupakan satu-satunya majlis yang masih diamalkan dan mendapat sambutan di kalangan masyarakat Melayu hari ini. Upacara ini dilangsungkan dalam suasana penuh meriah terutama sekali jika sesebuah keluarga itu baru mendapat anak atau cucu sulung.Semasa upacara ini dijalankan bayi tersebut akan diletakkan di dalam buaian yang menggunakan kain songket atau batik dan dihias indah dengan bunga-bungaan. Selendang akan diikat di kiri kanan buaian dan ditarik perlahan-lahan semasa upacara berlangsung. Ketika itu juga, nazam atau marhaban akan dialunkan oleh sekumpulan lelaki atau wanita. Seterusnya bunga telur dan bunga rampai akan dihadiahkan kepada kumpulan ini. Pada hari ini, masyarakat Melayu menjalankan adat ini serentak dengan adat memberi nama dan adat cukur rambut.
  • JejakTanah/TurunTanah
Di sesetengah tempat, adat ini juga dipanggil adat memijak tanah. Ia sebagai meraikan anak yang baru pandai berjalan. Turun tanah bermakna seorang anak kecil dilepaskan untuk    memijak tanah sebagai lambang meneruskan kehidupannya. Adat ini dijalankan secara berbeza-beza dari satu tempat dengan tempat yang lain baik dari segi cara mahupun barangan yang digunakan.
  •  Bersunat / Berkhatan
Adat bersunat bagi bayi perempuan lazimnya   dilakukan ketika bayi itu masih kecil iaitu beberapa hari selepas dilahirkan. Namun demikian, kebanyakan kanak-kanak perempuan akan menjalani upacara ini sekurang-kurangnya ketika berumur setahun atau lebih. Adat ini akan dijalankan oleh bidan. Bagi kanak-kanak lelaki, mereka akan menjalani adat bersunat atau juga dipanggil berkhatan ketika umur mereka dalam lingkungan 8 hingga 12 tahun. Adat berkhatan akan dijalankan oleh Tok Mudim. Di dalam ajaran Islam, bersunat atau berkhatan adalah wajib kerana Islam menitikberatkan kesucian lahir dan batin. Di samping itu juga,ia baik dari segi kesihatan.


2. Kematian

Apabila berlaku kematian, perkara pertama yang perlu dilakukan oleh keluarga si mati ialah memberitahu kepada tok imam agar kematian itu dapat dimaklumkan kepada saudara mara dan jiran tetangga di sekitar kawasan itu.Mayat tersebut akan diletakkan di ruang tengah rumah dan dibaringkan serta ditutup dari kepala hingga ke kaki dengan sehelai kain. Kepalanya dihadapkan ke arah kiblat dan kedua-dua tangannya pula dikiamkan iaitu tangan kanan ditindihkan atas tangan kiri ke dada. Orang yang menziarah si mati akan menyedekahkan ayat-ayat suci Al-Quran. Pada kebiasaannya di hadapan mayat itu, diletakkan sebuah tempat bara dan kemenyan akan dibakar.

            Semasa mayat masih berada di dalam rumah, sebarang jamuan tidak akan diadakan. Mayat tersebut juga perlu dikebumikan secepat yang mungkin. Sebelum dikebumikan, mayat dimandikan oleh tukang mandi mayat dengan tertib dan cermat. Jenazah seterusnya dikapankan, iaitu dengan cara membalut badan mayat dengan kain putih. Bagi jenazah lelaki, mereka perlu dibalut dalam tiga lapisan manakala jenazah wanita pula sebanyak lima lapis beserta telekung. Jenazah juga akan dipakaikan celak dan dibubuh kapur barus. Sebagai penghormatan terakhir, ahli keluarga terdekat dan muhrim dibenarkan mengucup mayat tetapi disyaratkan air mata tidak menitis pada tubuh jenazah. Mayat seterusnya disembahyangkan samada di rumah atau di masjid.
Sebelum keranda diusung, ahli keluarga terdekat akan lalu sebanyak tiga atau tujuh kali dibawah keranda tersebut supaya mereka tidak terasa rindu pada si mati. Walau bagaimanapun adat lalu di bawah keranda ini tidak lagi dilakukan oleh masyarakat Melayu pada hari ini.

            Selepas itu jenazah akan dimasukkan ke dalam keranda dan diusung ke tanah perkuburan. Kaum lelaki digalakkan menghantar jenazah hingga ke kubur, sebaliknya kaum wanita kurang digalakkan kerana dikhuatiri akan meratapi kematian tersebut. Sebelum ditimbus, siak atau sesiapa yang hadir akan turun ke dalam kubur dan membuka papan tutup keranda itu dan mengerengkan mayat serta membukakan ikatan di kepala. Kepala mayat akan disendal dengan tanah yang telah dikepal-kepal dan selepas diazankan di telinganya, barulah keranda ditutup dan tanah ditimbus. Dua batang batu nisan tertulis nama, tarikh lahir dan juga tarikh kematian akan dicacak di atas kubur sebagai tanda. 



            Kenduri arwah dan doa selamat akan diadakan oleh keluarga si mati selepas jenazah selamat dikebumikan. Ia diadakan pada hari pertama, ketiga, ketujuh, keempat puluh empat atau keseratus hari. Tujuannya adalah untuk mendoakan kesejahteraan si mati yang berada di alam barzakh. Ada juga masyarakat Melayu yang melakukan adat turun batu iaitu menimbus kubur si mati dengan batu-batu kecil dan membina pagar kecil di sekeliling pusara tersebut selepas seratus hari seseorang itu meninggal dunia.


MASYARAKAT CINA

Masyarakat cina di Malaysia terdiri daripada beberapa suku dialek.Terdapat enam kumpulan dialek utama iaitu Hakka, Kantonis, Teochew, Hainan, dan Fuzhou (Hokchiu).Sandakan pernah bergelar “Hong Kong Kecil” kerana bandar itu dijadikan tempat tinggal kedua bagi kebanyakan pendatang dari Guangdong.Maka, secara amnya terdapat tiga kumpulan sub-linguistik orang cina Malaysia.Justeru itu, masyarakat cina mengamalkan pelbagai bentuk adat resam dan pantang larang dalam kehidupan seharian mereka.

Di samping itu,pelbagai bentuk adat resam dan pantang larang diamalkan oleh wanita cina semasa mengandung dan selepas bersalin untuk memastikan bayi yang bakal lahir tidak ditimpa kejadian buruk.Sebagai contoh, wanita mengandung dilarang melakukan kerja-kerja memaku kerana dikhuatiri bayi yang lahir akan mengalami kecacatan.Mereka juga terpaksa berpantang selama 40 hari selepas melahirkan anak.Seperti masyarakat melayu, mereka turut mengadakan kenduri apabila bayi tersebut mencapai umur sebulan.Masyarakat cina juga mengamalkan adat mencukur rambut bayi kerana mereka menganggap rambut bayi yang baru lahir adalah rambut sementara.

Masyarakat cina berpegang teguh kepada adat resam yang berkaitan dengan soal-soal kematian.Apabila berlaku kematian,mayat akan dibersihkan dan dimandikan sebagai tanda penghormatan terakhir kepada si mati.Mayat akan dimasukkan ke dalam keranda yang diperbuat daripada kayu yang diukir menarik.Mereka akan mengupah lebih ramai orang untuk menangisi si mati.Semasa mengiringi mayat, pelbagai jenis lagu dimainkan.Selepas upacara kematian, ahli keluarga menjalani adat berkabung.Pakaian berwarna hitam akan dipakai untuk beberapa hari sehingga hari perkabungan tamat.

Perayaan Tahun Baru Cina disambut secara besar-besaran oleh masyarakat cina bagi menandakan kedatangan tahun baru menurut kalender mereka.Orang cina mempercayai bahawa terdapat 12 binatang yang menaungi kalender mereka.Semua ahli keluarga berkumpul untuk makan bersama pada malam Tahun Baru.Buah limau mandarin dan kuih bakul turut menjadi kemestian bagi merayakan Tahun Baru Cina.Perayaan penutup bagi Tahun Baru Cina adalah perayaan Chap Goh Meh.

Tarian naga adalah satu bentuk tarian dan persembahan tradisional dalam budaya cina.Tarian ini sering dipersembahkan pada musim perayaan.Masyarakat cina menganggap bahawa naga mewakili kekuatan yang boleh menghilangan nasib buruk dan mencegah jenayah.Gerakan-gerakan dalam persembahan ini melambangkan peranan naga yang menunjukkan kuasa dan maruah.Tarian singa juga terdapat dalam adat warisan masyarakat cina.Dua tarian singa yang amat terkenal ialah “Tarian Singa Utara” dan “Tarian Singa Selatan”.




MASYARAKAT INDIA

Masyarakat India juga kaya dengan ciri-ciri kebudayaan mereka dan masih mengekalkan kebudayaan tersebut sehingga kini. Adat resam yang diamalkan oleh masyarakat India mempunyai banyak persamaan dengan kebudayaan masyarakat Melayu. Ini jelas terlihat dalam aspek kelahiran dan perkahwinan. Masyarakat India terdiri daripada pelbagai suku kaum, justeru itu maklumat berikut hanya memaparkan adat resam masyarakat India secara umum.

  • Tanda Hormat
Mereka menyapa dengan sebutan "vanakam" dan sentiasa bertanyakan tentang kesihatan, kerja, perniagaan atau sebagainya. Tetamu sentiasa dijamu minuman atau makanan dan  mesti sudi menerima hidangan dengan baik sebagai tanda hormat kepada tuan rumah. Jika menerima sesuatu, elok digunakan tangan kanan sebagai tanda kebaikan dan kesyukuran.
  • Peranan Keluarga
Keluarga amat penting dalam masyarakat Tamil. Meskipun bapa memainkan peranan utama tetapi ibu adalah paling dihormati yang dianggap mulia. "Ibu adalah umpama Tuhan" dan anak perempuan pun dipanggil "amma" seperti seorang ibu. Penjagaan anak perempuan amat diberi perhatian.
  • Sewaktu Mengandung
Adat Valaikaappu  dilakukan ketika kandungan sulung wanita hamil menjangkau usia tujuh hingga sembilan bulan. Wanita hamil tersebut akan dipakaikan sebentuk gelang tangan baru yang dikenali sebagai Suulkaappu. Suul bermaksud `kandungan ibu” dan Kaappu pula bermaksud 'perlindungan'. Gelang ini dipakai bertujuan untuk melindungi bayi di dalam kandungan daripada kesukaran semasa bersalin.Gelang tangan yang dipakaikan dalam upacara ini terdiri daripada beberapa jenis iaitu gelang kaca, pancalogam dan emas mengikut kemampuan masing-masing. Setelah anak dilahirkan, gelang tangan emas tersebut akan dileburkan untuk dibuat perhiasan bagi bayi tersebut dan akan dipakaikan pada hari pemberian nama.Pada hari upacara dilakukan, hadiah kepada wanita hamil tersebut yang dikenali sebagai ciir diatur ke dalam dulang yang mempunyai bilangan ganjil. Hadiah ini termasuk barang kemas, sari, gelang tangan, serbuk kumkum, kunyit, buah-buahan, sirih pinang, sikat dan cermin serta pelbagai manisan. Hadiah di dalam dulang ini akan diletak di ruang tamu dan seterusnya upacara memandikan wanita hamil tersebut diadakan. Upacara ini juga dikenali sebagai mutugu niir (kulittal). Wanita hamil tersebut didudukkan di bilik mandi dan dimandikan dengan air seperti air susu, air kunyit, air kelapa muda, air mawar dan bunga-bungaan. Setelah mandi, wanita hamil tersebut akan dihias seperti pengantin dan seterusnya akan dikalungkan dengan kalungan bunga oleh suaminya.Wanita hamil tersebut dipakaikan dengan sari perkahwinan atau sari baru yang dibeli oleh ibu bapanya dan didudukkan di ruang tamu. Seterusnya lampu minyak kuttu vilakku dihidupkan sebagai memohon restu Tuhan dan sebagai memulakan upacara.
  • Semasa Bersalin
Waktu kelahiran adalah penting bagi masyarakat India di mana ia akan dicatat dengan tepat bagi menentukan bintang bayi mengikut almanak Hindu. Bintang bayi ini akan menentukan mental, fizikal dan rohani bayi sehingga dewasa.
  • Kelahiran
Kelahiran seorang bayi adalah  acara penting keluarga dan masyarakat. Semua saudara mara dimaklumkan apabila lahir seorang bayi. Selama 16 hari selepas lahir keluarga tidak boleh melakukan sebarang upacara agama. Pada hari ke 16 upacara penting diadakan untuk menamakan anak. Rumah akan dihiasi cantik, buaian dihiasi dan jiran-jiran dijemput bersama meraikannya.Nama seorang anak didapati dari almanak Hindu mengikut bintang dan hari kelahirannya. Seorang ketua agama akan ditanyakan untuk mencari nama bertuah itu mengikut aksara bintangnya. Ketika menamakan, bayi itu dipangku oleh orang tua satu persatu sambil menyanyikan doa agama oleh kaum wanita. Selepas itu, saudara mara yang hadir akan memberinya gelang untuk dipakaikan sebagai tanda selamat. Pada hari ke 30, bayi itu dibawa ke kuil dan upacara diadakan dengan doa selamat.
  • Potong Tali Pusat
Tali pusat yang dipotong akan ditanam bersama uri dan tembuni di sekitar kawasan rumah bersama duit tembaga, serbuk kunyit, garam dan pinang. Bahan-bahan ini dimasukkan bersama untuk mengelak dari dikorek oleh binatang liar dan tidak digunakan oleh ahli sihir.
  • Menyapu Madu
Bayi yang baru dilahirkan juga akan disapu madu bercampur minyak sapi pada lidahnya. Di samping madu, air gula juga boleh digunakan. Minyak savvennai yang merupakan campuran minyak bijan, minyak lenga dan mambu juga kadangkala digunakan. Kegunaan minyak ini dipercayai boleh membawa kecantikan dan supaya bayi tidak diserang sebarang penyakit. Madu pula dikatakan dapat melembutkan lidah bayi dan memudahkan bayi bertutur.
  • Membawa Bayi Pulang Ke Rumah
Bayi yang dilahirkan di hospital akan dibawa pulang ke rumah pada hari ketiga, kelima, ketujuh dan sebagainya iaitu pada bilangan hari ganjil. Sebelum bayi dibawa masuk ke rumah upacara aalati dilakukan. Ia bertujuan untuk mengelakkan bala atau sebarang malapetaka dari pada berlaku.
  • Mandi Selepas Bersalin
Apabila bayi dan ibu kembali ke rumah, mereka diasingkan dari ahli keluarga yang lain di sebuah bilik khas yang sentiasa dijaga kebersihannya. Bagi dua minggu pertama, orang luar dilarang melawat mereka kecuali untuk tujuan perubatan.Jika proses bersalin secara pembedahan, ibu yang baru bersalin tidak dibenarkan mandi selama dua minggu atas sebab-sebab kesihatan akibat fizikal ibu yang lemah kerana pembedahan dan kesan kelahiran. Bagi ibu yang bersalin normal, si ibu akan mandi selang sehari selepas bersalin.Bayi pula kebiasaanya dimandikan pada waktu tengah hari oleh seorang wanita yang berpengalaman. Mandian ini dilakukan dengan menyiram ke seluruh badan bayi dengan menggunakan air suam yang kadangkala dicampur dengan bahan-bahan herba. Ia bertujuan untuk mengelak penyakit sawan atau kuning. Susu juga digunakan sebagai bahan utama untuk melembutkan kulit bayi. Selesai dimandikan, bayi ditonggengkan dengan mengangkat kedua belah kaki sambil menepuk bahagian punggung untuk mengeluarkan kahak. Setelah itu bayi diasapkan dengan asap kemenyan, dan disapu dengan bedak yang diperbuat dari tepung beras supaya tidak dihinggapi ruam. Akhir sekali bayi akan dibedung dengan kain bertujuan untuk meluruskan anggota badan bayi.
  • Mendodoi Bayi
Upacara penting dalam masyarakat India ialah amalan mendodoi. Upacara  ini juga dikenali sebagai taalaattu bermaksud penggoyangan lidah. Upacara dimulakan dengan ucapan aaraaro aariraro atau cerita-cerita nasihat. Ia bertujuan agar bayi tersebut menjadi seorang yang berguna. Namun amalan ini semakin berkurangan dilakukan dan hanya diamalkan oleh generasi tua sahaja.
  • Memberi Nama
Sebaik sahaja bayi berusia enam belas hari, upacara pemberian nama dilakukan. Ia dilakukan dengan memasukkan bayi ke dalam buaian dan dikendalikan oleh ahli keluarga yang tertua yang arif tentang agama dan perkara yang berkaitan dengan dewa-dewa.Nama-nama yang dipilih lazimnya berdasarkan almanak dengan mengikut tarikh kelahiran bayi. Nama-nama tokoh sejarawan, nenek moyang serta yang berkaitan dengan agama Hindu juga dipilih bagi bayi tersebut kerana nama yang dipilih ini akan mempengaruhi perwatakannya kelak. 
  • Kematian
Bagi masyarakat India ,mereka mempercayai konsep kelahiran semula,iaitu kematian adalah ibarat tidur dan mereka akan bangun selepas tidur.Sarjana India juga menyatakan kematian adalah perpisahan roh dan jasad,dimana jasad akan hancur ,tetapi kembali ke alam barzakh. Dalam masyarakat India,mayat akan dibakar atau di kebumikan.Untuk melaksanakan upacara ini pelbagai adat di tentukan.
  • Upacara menanggalkan thaali.
Thaali vaangutal merupakan upacara menanggalkan thaali semasa berlakunya sesebuah kematian dalam sesebuah keluarga.Thaali iaitu rantai suci perkahwunan hanya boleh ditanggalkan oleh isteri setelah suaminya meninggal dunia.
  • Upacara vaikkarasi
Setelah dimandi dan dihias cantik,mayat akan dimasukkan ke dalam keranda.Pada masa yang sama lagu-lagu suci dimainkan.Saudara mara akan member penghormatan yang terakhir kepada si mati dan mendoakan agar roh si mati akan tenang.Pada masa yang sama,ucapan tenna adudaiya shinanee pottri disebut beberapa kali sebagai menandakan upacara tersebut telah direstui oleh tuhan.Ahli-ahli keluarga akan mengelilingi mayat mengikut lawan jam sebanyak tiga kali sebagai tanda penghormatan.
  • Kollic catti.
Kollic catti bermaksud periuk tanah liat yang mengadungi api. Periuk tersebut di angkat dengan menggunakan pelepah kelapa yang dibelah tiga di bahagian hujung dan diikat pada periuk.Kollic catti dibawa oleh ahli keluarga si mati samada anak ataupun bapa.Anak sulung melakukan untuk bapa apa yang telah meninggal dunia dan anak bongsu untuk ibu. 
  • Perayaan bagi kaum india
Bagi kaum india mereka merayakan perayaan mereka seperti deepavali,thaipusam,dan ponggal bagi setiap tahun.Bagi perayaan Deepavali,penganut hindu akan menjalani mandi minyak yang melambangkan penyucian badan dan semangat.Selepas upacara penyucian yang melambangkan permulaan yang baru,penganut hindu akan mengunjungi kuil,dimana patung dewa hindu akan dikalungkan dengan kalungan bunga. Bagi thaipusam pula,merupakan perayaan menghapuskan dosa-dosa yang telah dilakukan di atas muka bumi.Tidak semua penganut hindu melakukan Nazar.Nazar yang membawa maksud memohon sesuatu hajat kepada dewa Murugan dan jika permohonan dikabulkan,maka satu acara tertentu diadakan sebagai tanda kesyukuran.Bagi ponggal pula,perayaan ini diraikan secara beramai-ramai.Iaitu dengan memasak menggunakan periuk yang kebanyakannya diperbuat daripada tanah liat,bertujuan untuk menandakan masa mereka menuai hasil tanaman. 


RUJUKAN:


  1. Adat dan budaya etnik di Malaysia, http://bmpengurusan2010.blogspot.com/ 
  2. Adat dalam Masyarakat Malaysia dan Kepentingannya, http://zanas.wordpress.com/pembinaan-bangsa-dan-negara-malaysia-yang-berdaulat/
  3. Masyarakat Melayu di Malaysia, http:// pmr.penerangan.gov.my/index/php/budaya/
  4. Pantang Larang Kaum Melayu, Cina dan India, http://bmk12010.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment