Orang Melayu tempatan pra sejarah sudah mempunyai kemahiran membuat pakaian daripada kulit kayu melalui bukti batu penerap yang ditemui. Dipercayai, batu penerap itu digunakan sebagai penumbuk kulit kayu supaya menjadi lembut dan nipis.
Sebelum kedatangan Islam, pengaruh Hindu-Buddha masih kuat ke atas masyarakat Melayu. Masyarakat tempatan pada masa itu, memakai pakaian yang amat ringkas. Mereka hanya menutup di bahagian tertentu tubuh. Kaum lelaki hanya menggunakan 2 helai kain iaitu kain di kepala yang diikat ringkas dan kain sarung dikilas atau kain sarung dijadikan cawat. Pakaian sebegini sesuai dan selesa dipakai dalam cuaca panas kawasan tropika. Kaum wanita pula hanya menggunakan 3 helai kain; iaitu kain sarung, kain kemban dan kain selendang. Perbezaan golongan wanita bangsawan dengan rakyat adalah golongan bangsawan menggunakan kain daripada jenis yang mahal dan indah serta memakai perhiasan keemasan. Dapat dilihat jurang sosial yang wujud dari cara berpakaian masyarakat, semenjak sebelum kedatangan Islam.
Pengaruh Islam sekitar abad ketujuh yang antaranya dibawa oleh pedagang-pedagang Arab melalui kegiatan perdagangan, secara tidak langsung mempengaruhi reka bentuk pakaian tradisional masyarakat Melayu secara berperingkat-peringkat. Dari abad ketujuh hingga ke-13, adalah satu tempoh transisi dan penyesuaian yang panjang. Walaupun agama Islam telah tersebar di alam Melayu, namun pengaruh Hindu-Buddha masih kuat.. Dari segi pakaian, masyarakat tempatan mula berpakaian secara sopan dengan menutup badan mereka dengan baju. Kaum wanita dan lelaki memakai baju berbentuk tunik pendek berkain kapas hijau dengan bahagian bawah dililitkan dengan kain sari sutera.
Baju tunik adalah baju yang ditebuk di bahagian leher supaya memudahkan pemakainya menyarungkan baju ini melalui leher, seperti ketika memakai baju kurung.
Selain baju tunik, seperti yang telah disebutkan di atas, ada juga baju yang berlengan pendek, berleher tunik juga dan berkancing sebutir butang emas. Baju ini dinamakan baju alang. Baju alang ini dipakai oleh raja-raja sebagai baju basahan.
Selepas abad yang ke-13 baharulah pengaruh Islam menampakkan kesannya. Agama Islam mula dihayati oleh masyarakat tempatan. Pakaian masyarakat tempatan mula dipengaruhi pakaian orang Arab seperti pemakaian jubah.
Proses evolusi pakaian Melayu mencapai tahap tertinggi pada zaman kerajaan Melayu Melaka. Bermula dari istana-istana raja, bangsa Melayu mencapai zaman kegemilangannya dan sehingga sekarang warisan budayanya masih menjadi sumber inspirasi kepada bangsa Melayu. Seperti yang tercatat dalam buku Sejarah Melayu, ada menceritakan bahawa Tun Hassan (yang hidup semasa pemerintahan Sultan Mahmud Shah) adalah orang yang pertama yang mengubah bentuk baju Melayu asal kepada bentuk baju Melayu yang dipakai sekarang. Tun Hassan telah melabuhkan baju Melayu serta membesarkan dan memanjangkan pangkal tangan baju Melayu. Baju itu dinamakan baju kurung. Dengan melabuhkan baju tersebut, bentuk rupa pakaian Melayu serupa dengan bentuk rupa jubah, pakaian orang Arab.
Sekiranya kaum lelaki memakai baju kurung dengan seluar panjang dan kain sarung yang diikat di pinggang hingga ke paras lutut, kaum wanita pula memakai baju kurung dengan kain sarung. Kaum wanita juga telah mula memakai kelubung untuk menutup kepala yang terdedah semasa keluar rumah. Pada waktu itu, wanita - wanita yang berkelubung terdiri daripada golongan istana, bangsawan, anak-anak yang keluarganya ialah guru-guru mengaji.
REVOLUSI PAKAIAN TRADISIONAL MELAYU
Proses evolusi pakaian tradisional Melayu turut berlaku pada zaman penjajahan Barat di Asia Tenggara. Pereka pakaian Melayu mulai menyerapkan ciri-ciri Barat yang dianggap sesuai ke pakaian tradisional Melayu. Pakaian bagi kaum lelaki, pada zaman penjajahan British adalah, seperti pakaian baju labuh berkolar dengan kain sarung atau pakaian kot, vest, seluar panjang serta kain samping. Bagi golongan raja-raja pula, pakaian kot berbutang emas atau logam berbaris yang mengancing baju yang terbuka di bahagian hadapan, seluar panjang berfesyen Inggeris serta memakai pedang. Ada juga yang memakai hiasan jam berantai. Bagi kaum wanita pula, terutama sekali golongan bangsawan, baju kurungnya masih dikekalkan dalam bentuk labuh dan longgar. Baju kurung ini dikenakan dengan kain ikatan ‘ombak mengalun’. Selain baju kurung, ada juga ‘baju labuh’ yang berbelah di hadapan. Bagi golongan istana atau golongan bangsawan, penggunaan aksesori seperti kerongsang sering dipadankan dengan pakaian mereka.
Terdapat pelbagai jenis baju tradisional Melayu yang telah melalui evolusi. Fesyen baju tradisional ini telah dipakai oleh golongan istana atau golongan bangsawan dan kemudian menjadi ikutan rakyat biasa. Akhirnya, reka bentuk pakaian tradisional Melayu antara golongan istana dengan rakyat hampir serupa, hanya jenis kain serta aksesori yang digunakan berbeza.
Dahulu, anugerah raja kepada rakyat yang telah berjasa adalah berupa bahan pakaian. Ada diriwayatkan dalam sejarah Melayu, seorang hamba raja menerima anugerah sepersalinan pakaian. Sepersalinan pakaian itu sebenarnya merupakan bekas pakaian yang pernah dipakai raja. Anugerah sepersalinan pakaian dianggap tinggi kerana nilai sosial yang ada pada masyarakat menganggap apa sahaja yang menjadi budaya diraja, sebagai suatu yang mulia. Sebenarnya anugerah sebegini dapat memperkukuhkan kedudukan raja kerana raja tidak akan memakai atau mengambil sesuatu yang pernah menjadi bekas rakyat tetapi sebaliknya, rakyat boleh mengambil sesuatu yang menjadi bekas raja melalui anugerah raja.
Rakyat zaman dahulu juga tidak dibenarkan memakai kain berwarna kuning dan tidak boleh memakai perhiasan diri serta kain sutera berwarna kuning dan sutera putih. Tercermin pengaruh Hindu yang menganggap warna kuning sebagai warna keramat yang khusus untuk golongan bangsawan.
Bagi orang Melayu, pakaian memainkan peranan penting sebagai suatu yang amat berharga dan disanjung tinggi. Justeru banyaklah ungkapan yang menggunakan istilah ‘kain dipakai’ untuk menerangkan nilai yang ada pada seseorang. Sebagai contoh, ungkapan ‘jika buruk kain dipakai, buruklah sifat seseorang itu’. Namun ungkapan ini bukan bermaksud menghina golongan yang tidak berkemampuan memakai pakaian cantik. Apa yang dimaksudkan dengan buruk kain dipakai adalah cara seseorang itu mengikat kain. Jika tidak teliti dan mahir, kain akan kelihatan berkedut dan tidak rapi. Simboliknya, memaparkan nilai yang ada pada si pemakai sebagai seseorang yang tidak tahu mengurus diri dengan baik, tidak sabar dan kurang teliti.
JENIS PAKAIAN TRADISIONAL MELAYU
Citra pakaian tradisional Melayu begitu penting sehinggakan sebarang perubahan, penyesuaian dan gubahan yang dilakukan terhadap pakaian tradisional tidak boleh lari dari citra asalnya. Buktinya, baju Melayu tetap memantulkan keperibadian Melayu dan terus dipakai hingga kini.
Baju Kurung Teluk Belanga
Menurut Dato’ Haji Muhammad Said Haji Sulaiman, dalam bukunya Pakaian Patut Melayu, pakaian baju kurung yang dipakai sehingga sekarang berasal dari negeri Johor. Menurut beliau, pakaian tradisional ini dipakai di negeri Johor sejak zaman pemerintahan Almarhum Sultan Abu Bakar; iaitu pada tahun 1800 di Teluk Belanga, Singapura.
Pada masa itu Teluk Belanga di bawah pemerintahan negeri Johor. Orang Johor telah mengubah suai pakaian Melayu di bahagian leher dengan menjahit “tulang belut” dan “sembat halus” pada seluruh baju kurung itu; supaya kelihatan lebih kemas dan menarik. Baju kurung Teluk Belanga mempunyai leher berbentuk bulat dan belahan di hadapan. Pada bahagian pangkal belahan dibuat tempat pengancing baju iaitu ‘rumah kancing’ dengan menggunakan jahitan benang. Rumah kancing dibuat dengan jahitan ‘insang pari’.
Baju kurung Teluk Belanga memerlukan bahagian lehernya dikancing dengan sebutir butang yang berwarna emas atau perak. Bagi kaum lelaki, baju ini dipadankan dengan seluar serta kain samping dagang. Ciri-ciri ini telah memperlihatkan keunikan identiti baju kurung orang Johor. Bagi kaum wanita, mereka biasanya memakai butang berbatu berlian atau batu lain yang bernilai. Kini, kaum wanita gemar menggunakan keronsang kecil sebagai pengganti butang baju kurung. Baju kurung ini dipakai dengan kain sarung ikatan ‘ombak mengalun’.
Baju Kurung Cekak
Musang
Baju kurung telah mengalami pelbagai perubahan sejak dari mula baju ini dicipta. Baju kurung yang ditambah dengan leher berdiri; dinamakan baju kurung cekak musang atau baju wan. Baju ini telah dipengaruhi oleh baju gamis atau kamis (jubah jemaah haji yang pulang dari Makkah). Jubah ini telah dipendekkan ke paras punggung supaya selesa dipakai. Poketnya dijahit serupa dengan baju kurung Teluk Belanga. Bahagian leher baju kurung cekak musang ini dikancing dengan tiga, lima, tujuh atau sembilan butir butang. Bahagian leher ini tidak dijahit tulang belut halus. Bagi kaum lelaki, baju ini dipadankan dengan seluar potong Melayu dengan kain samping dagang luar. Bagi kaum wanita pula, baju kurung cekak musang juga dipakai dengan kain sarung ikatan ‘ombak mengalun’.
Kain Sarung
Pada masa dahulu, terdapat satu lagi kain sarung yang dinamakan ‘kain dagang’.Kain ini dipakai oleh kaum wanita sebagai kain tudung. Kain dagang ini digunakan untuk melindungi diri daripada cahaya matahari dan daripada pandangan lelaki. Apabila sampai di rumah, kain ini diikat pada pinggang sahaja. Dahulu, kain sarung wanita ini boleh juga menjadi senjata kaum wanita jika diserang.
Baju Kurung Moden
Baju
kurung moden mempunyai ciri-ciri yang berlainan dengan baju kurung tradisional.
Baju kurung moden digubah supaya kelihatan kemas dan menarik. Ia tidak gelobor
seperti baju kurung tradisional. Ini kerana baju kurung moden mempunyai jahitan
kekek dan pesak pada bahagian sisi baju. Namun, ciri-ciri utama masih
dipelihara. Sebagai contoh, pakaian ini masih berlengan panjang dan masih
digunakan dengan kain sarung.
Baju Kebaya
Baju
belah telah melalui evolusi kerana telah terpengaruh dengan pakaian wanita
Barat. Baju belah yang asalnya gelobor dan labuh kini mulai berubah dengan
bentuk yang lebih kemas. Potongan baju menjadi ramping di pinggang serta labuh
baju disingkatkan sedikit. Nama yang sesuai telah mengiringi perubahan baju
belah ini menjadi baju kebaya.
Baju kebaya mempunyai dua versi iaitu baju kebaya labuh dan baju kebaya pendek.
Baju kebaya labuh dikecilkan sedikit untuk mengikut bentuk badan si pemakai.
Kain sarung diikat secara ikatan kuncup, iaitu kepala kainnya dilingkup ke
bahagian hadapan. Baju kebaya ini dipakai dengan kancing berbunga atau
kerongsang yang beransingan atau yang berantai.
Baju kebaya pendek pula, telah diubahsuai untuk kelihatan lebih menarik dengan
mengadakan sulaman berbiku di bahagian hujung lengan, dan di tepi bahagian
belahan serta di bucu baju.
Baju kebaya moden
telah mula dipakai orang Melayu sebelum Perang Dunia Kedua. Walaupun dinamakan
baju kebaya moden, namun ciri-ciri kemelayuannya masih ada kerana baju itu
dipakai dengan kain. Baju kebaya moden ini adalah baju kebaya pendek yang ketat
dan dipadankan dengan kain ikatan secara wiron. Baju ini mendedahkan bahagian
leher dan dada serta berzip di sebelah belakang badan. Kain yang biasa
digunakan adalah kain batik lepas yang dililit mengikut bentuk badan. Hujung
punca kain di bahagian hadapan diikat seperti kipas.
Pada tahun 1960an,
baju kebaya moden dipadankan dengan kain yang ketat dan dibahagian hadapan kain
dibuat satu belahan hingga ke paras lutut untuk memudahkan pergerakan.
Apabila pemakainya mengatur langkah, betisnya akan kelihatan.
Pada akhir tahun
1970an, baju kebaya moden tidak digemari. Fesyen pakaian itu berubah
kepada bentuk lebih longgar dan manis dilihat. Kebaya ini masih dipadankan
dengan kain yang berbelah, tetapi selisih kain di bahagian belahan dilebarkan
supaya betis tidak kelihatan.
Dewasa ini, baju kebaya turut dipadankan dengan seluar. Seluar itu akan
dikecilkan sedikit pada bahagian buku lali. Ini bagi membolehkan si pemakai
bergerak bebas.
BAJU MELAYU
Pakaian tradisional
bagi kaum lelaki Melayu ialah baju Melayu. Baju Melayu merupakan kameja longgar
yang dipakai dengan seluar panjang. Pakaian ini selalunya dipadankan dengan
kain samping yang diikat di bahagian pinggang dan bersongkok. Baju Melayu bagi
rakyat Malaysia terbahagi kepada dua iaitu baju Melayu potongan Teluk Belanga
dan baju Melayu potongan cekak musang. Potongan tersebut merujuk kepada cara
jahitan pada leher baju tersebut. Baju Melayu Teluk Belanga biasanya terkenal
di kawasan selatan Malaysia. Potongan Teluk Belanga potongan lehernya dijahit
secara sulaman. Cara memakai baju Melayu Teluk Belanga biasanya samping dipakai
di sebelah dalam baju. Potongan Cekak Musang lebih terkenal di kawasan tengah
dan utara Malaysia. Potongan Cekak Musang iaitu bahagian penutup atau rumah
butangnya bertindan. Cara memakai baju Melayu Cekak Musang ialah samping di
sebelah luar baju.
PAKAIAN TRADISIONAL
MASYARAKAT CINA
Pakaian cheongsam
atau ‘baju panjang’
Cheongsam mempunyai
leher yang tinggi, butang di bahagian bahu, bentuk yang sendat di pinggang, mempunyai
belahan di kiri dan kanan kain. Pakaian
ini selalunya diperbuat daripada kain sutera, satin dan lain-lain jenis kain
lembut.
Samfoo
Merupakan pakaian
harian wanita keturunan Cina digemari oleh wanita-wanita separuh umur dan yang
bekerja di ladang, lombong atau di rumah. Samfoo diperbuat daripada kain nipis
yang tidak bercorak atau berbunga halus. Samfoo turut dipakai oleh lelaki
berketurunan Cina tetapi mempunyai sedikit perbezaan dengan samfoo yang dipakai
oleh wanita Cina. Pakaian ini terdiri daripada baju yang longgar dan terbelah
di depan dan berkolar tinggi serta dipakai bersama seluar longgar seperti
seluar baju Melayu. Pakaian ini biasanya
diperbuat daripada kain lembut seperti kain sutera.
Pakaian
Tradisional Masyarakat India
Kurta
Merupakan
pakaian tradisional bagi lelaki kaum india. Terdiri daripada kemeja panjang
yang sampai ke lutut yang diperbuat daripada kain kapas atau lime dan sutera.
Kebiasaannya, Kurta ini akan dipakai bersama
salwar longgar atau seluar Churidar. Kurta pijama asalah Kurta yang dipakai
oleh pemakainya bersama pijama dimana kurta pijama ini kebanyakan dipakai
ketika majlis-majlis rasmi.Kurta ini juga boleh dipakai bersama dhoti. Dhoti
ialah sejenis kain berbentuk segi empat panjang yang dianggarkan sepanjang 5
meter yang dililit di sekitar pinggang dan kaki.
Dhoti
Dhoti merupakan pakaian
tradisional orang lelaki dalam kaum India. Dhoti diperbuat daripada lembaran
kain putih yang panjang. Kain tersebut dililit di bahagian pinggang dan diikat
pada celah paha dan kemudian disangkukan pada bahu. Kemudian kain tersebut
dihiasi dengan manik-manik kecil supaya kelihatan menarik. Ada juga dhoti yang
bewarna kuning pudar atau kuning susu. Pakaian ini banyak dipakai oleh golongan
ceti. Dhoti
juga merupakan hasil tenunan yang ditenun menggunakan benang kapas ( Cotton )
dan ada juga dhoti yang ditenun khas dengan benang silk. Pemakaian dhoti juga
mempunyai pelbagai cara. Berikut adalah beberapa contoh pemakaian dhoti. Kebanyakan dhoti hanya boleh dilihat
di hari perkahwinan sahaja kerana generasi muda hari ini tidak berminat dengan
pakaian tersebut.
Sari
Sebidang kain
berukuran 5 hingga 6 ela panjang bergantung kepada individu yang memakainya
yang dipadankan dengan kain dalam yang berwarna seakan-akan kain sari
tersebut,serta dipakai bersama choli@blaus yang berwarna sama atau setentang
dengannya. sari dililit pada badan dengan bahagian hujungnya yang bersulam
diletak di atas bahu kiri. kain dalam dipakai di atas atau di bawah pusat dan
berfungsi menyokong kain sari tersebut dari terlucut. Dari segi pemilihan warna,
kebanyakan sari yang dipakai berwarna gelap seperti merah, biru, hijau dan
ungu. Warna-warna ini lebih menarik untuk sari yang dipakai pada musim
perayaan. Pemilihan corak pula adalah mengikut si pemakai. Ada yang lebih suka
bercorak tumbuha-tumbuhan dan ada juga yang lebih suka bercorak haiwan. Untuk
menjadikan si pemakai kelihatan menarik, kebanyakan mereka memilih sari yang
mempunyai pelbagai jenis manik yang berkilat. Ini akan menyerlahkan lagi
kecantikan si pemakainnya. Walau apapun pemilihan warna biasanya dipadankan
dengan corak yang menarik dan sesuai dengan si pemakai. Mengenai pakaian yang sering dikenakan oleh kaum India,
selain sari, 'lengha' iaitu baju yang dipadankan dengan kain serta 'dupata'
sejenis selendang turut menjadi pilihan utama kepada kaum wanita India.
Salwar kameez
pakaian
tradisional yang popular dalam kalangan wanita di utara India terdiri daripada
blaus panjang yang dipadankan dengan seluar panjang yang longgar di atas tetapi
semakin kecil di bawahnya, serta tudung kepala yang sesuai warnanya. wanita
india juga gemar memakai dupatta di bahu mereka ketika memakai salwar kameez.
PAKAIAN
MASYARAKAT BABA DAN NYONYA
Baba merupakan
satu kumpulan etnik yang menetap di tanah melayu sejak kurun ke
15. Merupakan satu kategori peranakan cina .Terpengaruh dengan budaya
pemakaian orang Melayu. Baba perempuan memakai pakaian kebaya dan kain
sarong. Pakaian ini merupakan pakaian tradisional nenek moyang
mereka yang diwarisi dari satu generasi ke satu generasi.
Kebaya dibuat daripada kain atau benang menggunakan seni sulaman tangan yang halus dan terperinci. Merupakan satu simbol identiti bagi masyarakat Baba. Berbeza dengan masyarakat Cina yang tidak memakai kebaya. Kebaya Nyonya memerlukan 3 pasang kerongsang untuk dijadikan butang berbeza dengan kebaya masyarakat Melayu tidak mempunyai butang.
Kebaya dibuat daripada kain atau benang menggunakan seni sulaman tangan yang halus dan terperinci. Merupakan satu simbol identiti bagi masyarakat Baba. Berbeza dengan masyarakat Cina yang tidak memakai kebaya. Kebaya Nyonya memerlukan 3 pasang kerongsang untuk dijadikan butang berbeza dengan kebaya masyarakat Melayu tidak mempunyai butang.
Rujukan:
Saat I. B. (2006). Sejarah Sosiobudaya Melayu. Shah Alam. Karisma Publications.
No comments:
Post a Comment